Tuesday 13 March 2012

Rahsia, Hikmah & Kelebihan Sedekah



     Islam adalah agama yang sangat fleksible dan terbuka dalam memberikan kemudahan kepada penganutnya dalam mengamalkan ajarannya. Islam mengajar berbagai berbagai rahsia ibadah tertentu, dengan penjelasan sangat logik sehinggalah kepada yang kurang dapat deterima akal.
     Dalam konteks sedekah, ibadah ini mengandungi rahsia kelebihan yang cukup hebat bagi mereka yang melakukannya. Dalam erti kata lain sedekah boleh dikategorikan sebagai "ibadah sosial" seseorang. Orang yang menafkahkan hartanya akan mendapat keuntungan yang tidak diduga, bahkan dengan sedikit harta yang dinafkahkan akan mendapat balasan yang cukup besar nilainya.
     Kita disarankan supaya selalu bersedekah kerana bersedekah ada banyak kekayaan yang akan muncul serta akan memancarkan hikmah dan memberi kesan di akhirat kelak. Antara hikmah yang akan kita perolehi di duni adalah:
  • Menyucikan Harta
    • Dalam setiap harta benda yang kita miliki, boleh jadi banyak unsur kotoran yang menjadikannya tidak lagi barakah. Oleh itu dengan bersedekah dapat menjadikan harta yang anda miliki itu suci. Nabi s.a.w. mengingatkan dalam hadis-nya: "Ingatlah, bahawa jual beli itu mengandungi langkah, sumpah dan dusta. Oleh itu, bersihkanlah dengan cara bersedekah."
  • Membersihkan Dosa
    • Sedekah dapat menjadikan  harta dan jiwa seseorang menjadi bersih. Ibarat pakaian, jika dipakai dalam keadaan bersih pasti membawa keselesaaan. Allah s.w.t. berfirman: 
      • "Ambillah (sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah at-Taubah: 103)
  • Membuang Mentaliti Kedekut
    • Sebilangan manusia cenderung memiliki nafsu yang selalu ingin untuk menguasai semua harta kekayaan, sekaligus mengumpulkan dan menimbunnya. Cinta pada harta benda menjadikannya kedekut dalam mengagihkannya bagi keperluan "orang lain". Oleh itu, sedekah dijadikan salah satu cara membuang mentaliti kedekut. Ini perlu bagi mengelakkan malapetaka yang lebih besar. Seperti yang dinyatakan dalam al-Quran:
      • "(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk kedalam (Neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;" (Surah al-Muddathsir: 42-44)
  • Mengasah Kelembutan Kalbu
    • Setiap orang memiliki berbagai kecenderungan seperti keras kepala dan sentiasa mahu menang. Dengan bersedekah kita mampu melembutkan hati yang keras dan akhirnya dapat menjalinkan silaturraham, sehingga semakin dekat dengan kenyataan hidup.
  • Mewujudkan Aturan Sosial
    • Aturan sosial yang tidak baik seperti pemberontakan dan pelbagai jenayah lain akan berlaku sekiranya golonagn miskin tidak mendapat perhatiaan dari golongan yang kaya. Kehidupan yang miskin mampu mendorong seseorang bertindak di luar dugaan. Jika aturan masyarakat ingin bertambah baik dan bertahan lama, maka jagalah golongan daif serta miskin.
  • Bersedekah Tanda Bersyukur Atas Nikmat Allah S.W.T.
    • Sedekah merupakan perbuatan yang dilahirkan sebagai tanda bersyukur atas nikmat Allah s.w.t., baik kesihatan, umur yang panjang ataupun kekayaan. Perlu diingatkan, bahawa Allah s.w.t. akan menambah kenikmatan kepada seseorang yang bersyukur dengan cara bersedekah, sebagaimana difirmankan dalam al-Quran:
      • "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Surah Ibrahim: 7)
Sedekah juga dapat membawa keuntungan di akhirat, antaranya:
  1. Meninggikan darjat di syurga.
  2. Memudahkan bagi seseorang ketika berada di sirat.
  3. Mengurangkan beban tanggungan (hisab)
  4. Menambah beban timbangan amal kebaikan.
  5. Sedekahnya akan diganti dengan naungan Allah s.w.t. baginya.
     Ingatlah bahawa segala isi bumi ini sebenarnya teramat melimpah ruah tetapi kekayaan itu habis menjadi berkurangan dengan kebakhilan dan sifat kedekut umat manusia sehingga menutup pintu rahmat Allah s.w.t. akan kurnia dan rezeki-Nya. Jika kita bermurah hati bersedekah, maka Allah s.w.t. akan memudahkan anda menjadi manusia kaya raya.

*sumber dipetik dari buku "Jika Ingin Cepat Kaya, Perbanyakkanlah Sedekah Kamu". Terbitan Al-Hidayah House of Publishers SDN. BHD.